Misi Kasih Sayang

Catatan peribadi pengalaman menaiki keretapi dari Semenanjung Malaysia ke Manchester


17 Comments

Tepi Tingkap #2 – Bantuan-Bantuan Tuhan

(Sambungan dari, Link – Tepi Tingkap #1)

Dalam waktu aku mula berkira-kira untuk berputus asa, dan memikir Plan B yang tidak pernah wujud, aku terlihat satu pasangan muncul di perkarangan hotel, keluar dari satu jalan kecil, dengan backpack bergalas di belakang. Mungkin suami isteri, atau pasangan kekasih, aghhh itu bukan keutamaan untuk diambil tahu sekarang.

Aku menyapa mereka, dengan sedikit resah, menampakkan gelisah. Masa semakin suntuk. Mike dan Serena, pasangan kekasih dari California, baru tiba di Beijing dari Shanghai. Tepat seperti jangkaan aku sebentar tadi – mereka mungkin menuju ke perkarangan hotel ini dari stesen keretapi.

Mike memberitahu, jalan kecil ini langsung menembusi ke persimpangan lampu isyarat Bank of China. Ya, Bank of China! Aku tahu, dari simpang itu ke stesen, jaraknya cuma kira-kira 100m. Selama di Beijing, aku tidak pernah perasan kewujudan jalan kecil ini. Aku cuma berulang-alik antara hotel ini dengan stesen subway mengikut panduan Baidu – melalui jalan besar yang sedikit jauh.

Meninggalkan pasangan tersebut dengan ucapan terima kasih yang sedikit tergesa-gesa, aku berlari mengikut jalan kecil sepertimana yang diterangkan Mike. Beijing sedang dilanda musim sejuk, permukaan jalan sedikit licin dengan salji yang membentuk lapisan ais. Berlari di atas jalan licin, bergalaskan dua bagpack dan satu sling bag, dan langkahan wajib diatur secermat mungkin bimbang terjatuh terpijak ais, bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Jalan kecil ini merupakan jalan belakang kedai. Kotor, sampah sarap menimbun dilonggok, air dari dapur kedai makan memenuhi lopak. Kelihatan beberapa orang pekerja sibuk dengan hal masing-masing, memotong daging dan sayur, tidak menghiraukan aku. Waktu pagi, semua orang bermula sibuk, bukan waktu yang terbaik untuk menegur sapa. Aku juga tidak mahu beramah mesra, aku harus cepat ke stesen. Cuma tinggal 20minit sahaja lagi sebelum segala-galanya punah.

Seperti diberitahu Mike, jalan kecil ini membawa aku langsung ke simpang Bank of China. Semalam aku sudah ke sini, untuk menukar wang. Agak sukar mencari money changer di Beijing. Berurusan di kaunter bank memang menawarkan exchange rate yang bagus, tapi memakan masa. Aku perlu menunggu selama sejam setengah, kerana urusan currency disekalikan dengan urusan-urusan lain. Sigh, kebetulan semalam ramai pula orang berurusan di kaunter.

Dari simpang ini, stesen keretapi cuma kira-kira 100m sahaja lagi. Aku masih berlari, namun sedikit perlahan berbanding semasa di jalan kecil tadi. Sedikit yakin masa akan menyebelahi aku pada kali ini. Niat untuk berhenti di kedai souvenier terpaksa dilupakan. Selama di Beijing, sudah beberapa kali aku melintasi kedai ini, tapi tidak pernah singgah. Bukan tidak ada masa, tapi kerana suka bertangguh, “Last day lah baru beli.”  Aku tidak pernah belajar dari pengalaman, entah berapa kali sikap bertangguh pernah mengecewakan aku. Bekas buah hati berubah fikiran juga kerana aku bertangguh. Aghhh, itu bukan untuk dikenang sekarang, lagi pun aku sudah berdamai dengan masa silam. Aku masih perlu berlari, dalam kehidupan dan juga sekarang. Keretapi ke Ulan Bator masih menunggu aku di stesen.

Tiba di luar perkarangan stesen, suasana tidak pernah berubah. Baik siang atau pun malam, para pelancong akan diserbu oleh lelaki dan wanita dengan brochure di tangan. Mereka adalah orang tengah kepada hotel dan agensi pelancongan, bersaing sesama sendiri merebut komisyen mendapatkan pelanggan. Mereka tidak boleh berbahasa Inggeris. Brochure juga tidak mesra pelancong, semuanya ditulis dalam Mandarin. Peduli apa, barangkali ini tanggapan mereka. Pelancong-pelancong dari dalam China sendiri pun sudah berjuta-juta orang, mengapa perlu tahu berbahasa Inggeris? Di China, populasinya sudah melebihi 1bilion penduduk. Di Beijing sahaja, terdapat 20juta orang. Mereka perlu bersaing dalam semua perkara, termasuk dalam merebut pekerjaan. Bagi yang kurang bernasib baik, tercicir dari pendidikan, mereka perlu memikirkan alternatif lain. Bangun pagi, kerja pejabat dengan seluar dan baju bergosok rapi, kadang-kadang dengan tie nipis, bukanlah pilihan yang ada.

Dua malam lepas semasa tiba di stesen ini dari Guangzhou, aku terlupa dengan satu perkara… Sibuk melihat peta, aku terjawab teguran seorang lelaki. Rasanya lelaki ini telah lama memerhatikan aku. Foreigner dengan backpacks, peta di tangan, dan sedang terkial-kial mencari arah – target yang cukup mudah, barangkali. “Saya Gan” lelaki ini memperkenalkan diri. Tanpa disuruh, Gan meminta izin untuk melihat peta dari tangan aku, lagaknya seperti mahu membantu. Gan tahu di mana hotel yang aku patut tujui, dan mengarahkan aku untuk mengikutnya ke arah barisan teksi. Belum sempat untuk aku menyatakan tidak, tetiba aku dikerumuni kawan-kawan Gan. Aku kira, ini tanda aku terpaksa bersetuju.

Tiba di hotel, aku melihat 20 Yuan tertera di meter teksi, namun Gan meminta 100 Yuan. Pemandu teksi cuma berdiam diri. Terkena, ya aku sudah terkena! Aku tidak berani untuk melawan. Seorang diri di dalam teksi di tempat asing pada waktu malam, aku merelakan diri untuk membayar 100 Yuan. Syukur, cuma 100 Yuan yang diminta. Aku tidak diapa-apakan, malah dihantar terus ke lobi hotel. Semua berlaku kerana aku terlupa. Asyik melihat peta, aku terjawab teguran seorang lelaki yang disangka datang untuk membantu. Sesuatu yang aku patut elakkan di Beijing.

Melintasi kawasan aku berkenalan dengan Gan dua malam lepas, aku terus menuju ke arah pintu masuk stesen. Suasana sibuk, barisan mulai panjang. Sekarang hujung tahun, musim orang sedang bercuti. Boleh dikatakan semua orang beratur dengan beg dan kotak-kotak besar, mungkin untuk dibawa pulang ke kampung halaman.

Aku kira ini halangan terakhir. Cuma sepuluh minit lagi sebelum segala-galanya punah. Dengan yakin aku terus ke depan pintu, tidak menghiraukan barisan panjang di belakang. Aku menunjukkan passport, dan tiket kepada polis bantuan di pintu masuk. “8.05am. Sepuluh minit lagi” aku menerangkan situasi aku kepada polis tersebut. Beliau membawa aku terus ke depan untuk pemeriksaan keselamatan ala airport-style. Lega! Sekali lagi aku bernasib baik.

Aku meletakkan bagpacks, sling bag, winter jacket, kasut dan tali pinggang yang dibuka, ke atas conveyor mesin pengimbas. Aghhh! Aku cukup benci security check. Proses untuk mengenakan kembali kasut, tali pinggang, dan winter jacket selepas pemeriksaan bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Aku kira, inilah rutin yang perlu aku hadapi sepanjang sebulan perjalanan ini.

Melepasi security check, aku terus berlari ke arah platform 3. Syukur, signboard di dalam bahagian stesen agak mesra pelancong. Maklumat perjalanan dipaparkan dalam Bahasa Inggeris. Aku tidak perlu membuang masa untuk mencari arah. Mungkin ini legasi dari Sukan Olimpik 2008 yang lepas –  signboard di-Inggeriskan.

Melangkah masuk ke dalam keretapi, jam menunjukkan pukul 8.03am. Aku menuju ke bahagian dalam gerabak, mencari kabin seperti tertera di tiket. Belum sempat untuk aku melabuhkan punggung ke atas berth, konduktor pun meniupkan wisel, siren dibunyikan, dan keretapi ke Ulan Bator mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Beijing. Close call!

 

Bagaimana jika Tuhan mengejutkan aku pada 7.30am, dan bukannya 6.30am?

Bagaimana jika aku tidak terserempak dengan Mike dan Serena?

Bagaimana kalau aku terjatuh terpijak permukaan ais yang licin di jalan kecil tadi?

Bagaimana jika polis di pintu masuk stesen tidak membenarkan aku melintas barisan?

 

Semua ini untuk dikenang dari tepi tingkap train nanti. Sekarang aku cuma mahu mengambil nafas, dan membiarkan peluh di badan kering terlebih dahulu. Terima kasih Tuhan atas bantuan Mu pagi ini…

 

(Bersambung)

#1Hari1Gambar #7 – Kenal Pasti Stesen (Beijing, 2013)

Leave a comment

L1000212China tahu bahawa pengangkutan awam yang menyeluruh dan pembangunan ekonomi adalah saling berkaitan. Maka tidak hairanlah jika di Beijing sahaja terdapat enam stesen keretapi utama; Beijing NORTH yang menyediakan perkhidmatan keretapi ke utara dan barat laut (north west), Beijing EAST bagi keretapi ke bahagian Chengde & Huairou, Beijing SOUTH (keretapi berkelajuan tinggi), Beijing WEST (keretapi ke barat dan barat daya aka south west), FENGTAI (untuk keretapi berkelajuan tinggi ke Guangzhou), dan Beijing MAIN untuk Transmongolian & Transsiberian. Semua stesen dihubungkan oleh jaringan Subway, dan para penumpang mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya sejam atau lebih untuk bergerak dari satu stesen ke stesen besar yang lain. Ketika di Beijing, saya tinggal di sebuah hotel berdekatan dengan Beijing Main, supaya mudah dan cepat ke sana pada hari perjalanan train Beijing – Ulan Bator.


7 Comments

Tepi Tingkap #1 – Tuhan Masih Sayangkan Aku

Sepuluh minit saja lagi, dan segalanya akan punah. Planning selama enam bulan akan berkecai. Tiket, booking penginapan mungkin terpaksa diubah. Research selama ini bakal sekadar menjadi catatan kosong di buku nota. Sepuluh minit saja lagi sebelum aku berdepan dengan realiti. Aku mula memikirkan Plan B, yang tidak pernah wujud. Ego sebelum ini meyakinkan, research dan planning selama enam bulan sudah cukup. Kerja rumah telah dibuat, mengapa perlu Plan B?

Pagi tadi aku bernasib baik. Semalam setibanya di bilik, aku terus tertidur. Penat yang dibawa dari pejabat masih belum hilang setibanya di Guangzhou tiga hari lepas. Dan penat itu masih berpanjangan di Beijing. Minggu sebelumnya, aku berkerja lebih masa untuk menyiapkan kerja-kerja saat akhir di pejabat. Mana mungkin aku meninggalkan ofis dengan begitu sahaja. Hujung tahun, banyak projek dan tender yang perlu diselesaikan. Aku berkerja lebih masa. Pulang lewat ke rumah adalah rutin pada minggu lepas. Tidur selewat 2pagi adalah kebiasaan. Persiapan saat akhir trip mendesak aku untuk berjaga malam. Pakaian perlu dikemas. Itinerary wajib disemak berulang-ulang. Maklumat bandar-bandar persinggahan harus di-google.

Dan kepenatan dari pejabat itulah yang menyebabkan aku terus tertidur setibanya di bilik semalam. Tidur tanpa menetap alarm, boleh dikira seperti membunuh diri. Namun Tuhan masih sayangkan aku.

6.30pagi aku terjaga, dikejut Tuhan. Shittt! Train ke Ulan Bator bertolak pukul 8pagi nanti. Lebih tepat 8.05pagi. Packing, mandi, breakfast semua pun belum.

Bagaimana jika aku terlajak tidur tadi? Bagaimana jika Tuhan mengejutkan aku pada 7.30pagi, dan bukan 6.30pagi? Aku kira ini pertolongan dari Tuhan. Sebelum berangkat ke Guangzhou tiga hari lepas, aku sempat menelefon mak di kampung. Perbualan kami ringkas. Aku tidak pasti mak tahu atau tidak di mana Guangzhou, Beijing, Ulan Bator dan bandar-bandar lain yang aku bicara kepadanya. Mak seorang suri rumah, pengetahuan geografinya mungkin terhad. Tapi itu semua bukan yang dipandang Tuhan. Redha para ibu adalah sama di sisi Tuhan, tidak kira bagaimana latar belakang pendidikan si ibu. Di akhir perbualan, aku cuma meminta mak mendoakan keselamatan aku sepanjang trip. Dan aku kira ini adalah pertolongan Tuhan. Terima kasih mak kerana memberi izin untuk anak mu berkelana.

Selesai mandi seadanya, aku mula bersiap. Aku perlu menyusun barang-barang ke dalam main backpack dan daily backpack. Daily backpack akan cuma terisi baju-baju, toiletries, kamera dan sedikit makanan yang akan aku gunakan di dalam train. Perjalanan dari Beijing ke Ulan Bator cuma 26jam, jadi tidak banyak barang-barang yang aku asingkan dari main backpack ke dalam daily backpack.

Matahari telah naik. Jam di dinding menunjukkan aku cuma ada sejam sahaja lagi sebelum waktu train berlepas. Pukul 7pagi, aku tercegat di dalam cafe hotel. Tidak banyak yang aku boleh makan untuk bersarapan. Cuma roti disapu mentega, dan hirisan buah tembikai susu. Selebihnya tidak halal. Aku kira ini sudah memadai untuk pagi ini. Keutamaan sekarang cuma untuk mengelak perut kosong diisi angin. Dan keutamaan yang paling besar adalah untuk berada di dalam train pada waktunya… Kerisauan terlepas train mula bermain di benak.

Selesai check out, aku mula bergerak keluar, menggalas main backpack di belakang. Daily backpack pula di depan, sekali pandang seperti perut ibu mengandung. Selain main dan daily backpack, aku juga ada membawa sling bag, untuk diisi nyawa – passport, cash dan kad-kad atm. Aku lindungkan sling bag di bawah winter jacket. Demi keselamatan. Sekarang sudah pukul 7.30pagi. Cuma 35minit sahaja lagi sebelum segala-galanya musnah.

Pada hari pertama di Beijing, antara perkara utama yang aku buat adalah menyukat jarak antara Beijing Railway Station dengan hotel penginapan; 800m, 30minit langkahan biasa. Mengenal pasti surrounding, di mana letaknya landmark, balai polis dan jalan utama, berapa jaraknya, adalah antara yang diajar di dalam safety course di pejabat. Bukan apa, jika berlaku bencana, sekurang-kurangnya pekerja tahu untuk menuju ke mana. Ya, walaupun aku bukan di dalam business trip, tapi aku tetap mempraktikkan perkara yang diajar. Lagak seperti Agent Bourne.

Kerisauan terlepas train kini semakin kuat. Aku cuma ada 35minit sahaja lagi untuk sampai ke pintu stesen, menempuh security check yang ketat ala-ala pemeriksaan di airport, dan itu belum lagi mengambil kira masa untuk mencari platform. Adrenaline mula menyerang, semua kemungkinan negatif kini mula terbayang.

Langkahan biasa akan memusnahkan segala perancangan selama enam bulan sebelum ini. Aku terdiam, masih lagi di perkarangan hotel, tidak menghiraukan angin musim sejuk yang meniup… Sedikit was-was untuk bertindak.

 

(bersambung)

#1Hari1Gambar #6 – Rekod Dunia (Beijing, 2013)

5 Comments

L1000206G-Train, code name untuk perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi di China. Selain mempunyai jaringan trek kelajuan tinggi terbesar di dunia, China juga mempunyai trek tunggal terpanjang dunia sejauh ~2300km yang menghubungkan Guangzhou dan Beijing. Fakta ini adalah faktor utama kenapa saya memilih Guangzhou sebagai titik mula transcontinental trip.

#1Hari1Gambar #5 – Harga Sebuah Pemodenan (Beijing, 2013)

Leave a comment

L1000198Terbang dari panas khatulistiwa di Kuala Lumpur, kemudian memulakan perjalanan first leg dari Guangzhou yang bercuaca sub tropika menuju ke utara, saya disambut musim sejuk setibanya di Beijing. Jarak penglihatan di Beijing agak terbatas bukan kerana kabus, tetapi disebabkan pencemaran udara. Power plants, kilang-kilang dan industri berat banyak menggunakan tenaga yang dijana oleh arang batu – satu sumber tenaga yang murah dan banyak kedapatan di China. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar atas nama pemodenan.

#1Hari1Gambar #4 – Dari Tepi Tingkap (Guangzhou, 2013)

Leave a comment

L1000181Pemandangan sekitar Guangzhou yang dilihat dari dalam keretapi menuju ke Beijing, tidak jauh berbeza dengan Malaysia . Bezanya, suhu di Guangzhou sekitar 15deg C, dan turun sedikit demi sedikit apabila keretapi semakin menghampiri Beijing. Guangzhou bolehlah dianggap sebagai transit untuk saya menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca secara perlahan-lahan, dari panas khatulistiwa di Kuala Lumpur, kemudian sub tropika di Guangzhou, seterusnya musim sejuk di Beijing.

#1Hari1Gambar #3 – Cabaran Merakam (Guangzhou, 2013)

4 Comments

L1000156Merakam kenangan permulaan transcontinental trip di hadapan keretapi laju menuju ke Beijing. Saya memilih Guangzhou sebagai starting block kerana signifikasi laluan Guangzhou – Beijing sebagai laluan landasan laju terpanjang di dunia. Hari pertama perjalanan lebih kepada waktu untuk membiasakan diri dengan traveling mode – backpack yang berat, sling bag yang terisi dengan dokumen & wang, dan perlu menyediakan tripod setiap kali untuk mengambil gambar. Saya lebih percayakan kamera dan tripod, berbanding stranger yang mungkin tidak terbiasa dengan kamera.

#1Hari1Gambar #2 – Berkelana Seadanya (Guangzhou, 2013)

Leave a comment

L1000151Perjalanan sebulan merentasi Asia ke Eropah memerlukan saya merancang bagasi dengan teliti. Terbang dari Kuala Lumpur yang beriklim khatulistiwa, menuju ke Guangzhou yang bercuaca separa tropika, seterusnya menaiki keretapi langsung ke Eropah pada musim sejuk memang memberi cabaran dalam pemilihan pakaian. Kasut yang bergaya semasa keluar dari rumah di Kuala Lumpur, mudah dibuka semasa melalui sekuriti airport & stesen keretapi, dapat memberi perlindungan dari permukaan licin dan kebasahan salji di Siberia, dan cukup selesa untuk berjalan-jalan di bandar-bandar persinggahan, cuma itulah sepasang kasut yang dibawa. Dan selain kasut, saya juga perlu memikirkan bagaimana untuk mengisi jaket, seluar thermal, makanan, toiletries, first aid, kamera dan tripod, tanpa terlalu memberatkan backpack. Berkelana seadanya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 44 other followers